Kehidupan ini semakin lama semakin menarik sebab semakin lama semakin banyak perkara pelik-pelik yang kita jumpa. Ramai orang berkejar ke sana ke mari mencari sesuatu padahal mereka sendiri juga tidak tahu apa yang mereka cari. Bunyi seperti pelik, tetapi itulah yang kebanyakan orang buat. Kalau kita sendiri tidak tahu apa yang kita cari, tidak mungkin kita akan jumpa apa yang dicari.
Sebagai contoh...Anda diberitahu bahawa ada suatu benda namanya ASMANONON di halaman rumah anda. Benda tersebut boleh digunakan untuk menyembuhkan berbagai jenis penyakit. Jika anda berjumpa
dengan benda tersebut, anda akan menjadi kaya raya. Bolehkah anda mencarinya?. Jika tidak boleh...apa sebabnya?. Sudah tentu kerana anda tidak tahu apakah sebenarnya ASMANONON tersebut. Kalaupun anda sudah nampak benda tersebut, anda tidak akan tahu bahawa anda sudah menjumpainya. Adakah ASMANONON itu sejenis daun, adakah ia sejenis logam, jenis batu atau apa bendanya. Jika anda tahu atau anda kenal ASMANONON tersebut, mungkin dengan mudah anda akan menjumpainya.
Disana sini orang bercakap tentang kejayaan. Tetapi sejauh mana orang faham tentang kejayaan. Apa makna kejayaan dan apa sebenarnya kejayaan?, Adakah pelajar yang lulus periksa itu boleh dikatakan berjaya? Adakah pasukan yang menang bola sepak itu dianggap berjaya atau adakah seorang peniaga yang mendapat keuntungan yang banyak itu adalah kejayaan?. Kalau setiap orang mendifinasikan kejayaan dengan cara masing-masing, ada berapa banyak makna kejayaan?.
Bagi penulis, kejayaan bererti perubahan iaitu samada perubahan pada minta maupun perubahan fizikal yang positif. Seseorang mungkin pandai, lepasan pusat pengajian tinggi atau berada dalam kerjaya yang betul, tetapi jika dia tidak mahu berubah dari keadaan dimana dia berada sekarang, dia tetap tidak akan berjaya. Tambah-tambah lagi mereka yang mungkin berada dalam situasi yang memenatkan pada masa sekarang, jika tidak mahu berubah...sudah tentu lebih memenatkan. Bukan sahaja tidak berjaya, bahkan akan semakin jauh dari kejayaan. Oleh itu kejayaan adalah khas untuk orang yang mahu berubah kerana KEJAYAAN ADALAH PERUBAHAN.
Semua orang mahukan kejayaan. Tetapi tidak semua orang mahu berubah. Ini adalah sesuatu yang amat pelik dan ajaib. Hanya segelintir orang sahaja mahu dan bersedia berubah. Sebab itu orang yang berjaya tidak ramai berbanding dengan orang yang gagal. Mengapa orang mahu berjaya tertapi mereka tidak bersedia untuk berubah?. Biasanya ada dua sebab mengapa orang tidak mahu berubah.
Sebab pertama ialah kerana mereka takut tidak selesa apabila melakukan perubahan. Sebarang perubahan yang dibuat akan menyebabkan orang merasa tidak selesa. Mereka terpaksa memasuki suasana yang tidak pasti atau tidak tahu. Mereka takut kepada tidak pasti dan tidak tahu yang akan dialami. Misalnya mengubah bidang pekerjaan yang baru. Orang takut kalau-kalau bidang yang baru itu tidak bersesuaian dengan mereka, takut tidak boleh ikut syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan, takut tidak dapat menyesuaikan diri dengan masa dan suasana yang baru, kawan-kawan baru dan lain-lain. Kadang kala ada pekerjaan yang memerlukan disiplin yang ketat, masa kerja yang lebih panjang, latihan yang berterusan dan sebagainya. Yang peliknya...Walaupun mereka tahu bahawa pekerjaan baru akan memberi lebih peluang untuk peningkatan berbanding pekerjaan sediada, mereka tetap tidak mahu berpindah ke tempat baru. Ini kerana mereka merasakan bahawa berterusan kerja di tempat sediada adalah lebih selesa.
Sebab kedua mengapa orang tidak mahu berubah ialah kerana mereka takut tidak biasa. Takut dipandang luar biasa oleh orang lain. Ada kalanya mereka sendiri akan merasakan bahawa diri mereka sendiri akan menjadi luar biasa. Misalnya sekarang mereka bekerja bermula pukul lapan pagi dan balik pukul lima petang. Sebelah malam pula duduk di rumah sahaja. Tiba-tiba disuruh bekerja mulai pukul dua petang hingga pukul sepuluh malam. "Orang tak biasa kerja macam itu". Ini mungkin rungutan yang akan didengar. Dengan itu mereka tidak akan mengubah pekerjaan walaupun mereka tahu bahawa mereka mempunyai peluang besar untuk peningkatan.
Lumrahnya, kejayaan akan dicapai apabila orang membuat sesuatu yang luar biasa. Hanya orang yang luar biasa sahaja sanggup membuat sesuatu yang luar biasa. Ini bermakna orang yang selalu membuat kerja biasa mestilah berubah dan bersedia untuk membuat perkara yang luar biasa jika mereka juga mahu berjaya. Apabila melakukan perkara yang luar biasa, sudah pasti akan mengalami situasi yang tidak selesa. Tanpa situasi tidak selesa bererti tiada perubahan. Dengan itu, tidak boleh takut dengan tidak selesa. Tidak kira samada suka atau tidak, samada mahu atau tidak, kedua-dua tidak biasa dan tidak selesa ini mesti dihadapi jika mahu berjaya.
Bagaimanapun tuhan maha adil dan maha mengetahui terhadap makhluk ciptaannya. Dengan itu tuhan jadikan supaya perkara tidak selesa dan tidak biasa akan menjadi selesa dan biasa sahaja apabila dilakukan selalu. Hakikatnya, kebiasaan dan keselesaan adalah juga berasal dari luar biasa dan tidak selesa yang dibuat secara berulang-ulang.
Tidak ada siapa dapat memberi kejayaan kepada orang orang lain selain dari Allah. Oleh sebab itu kita tidak boleh mengharapkan orang lain untuk memberi kejayaan kepada kita. Kejayaan mesti diwujudkan sendiri dengan keizinan Allah. Orang lain hanya boleh memberi ilmu dan menunjukkan jalan untuk menuju kejayaan. Untuk berjaya, mulakan perubahan sekarang sambil berdoa untuk mendapat keizinan.
No comments:
Post a Comment