Di sana sini bercakap mengenai usahawan. Berbagai-bagai jenis usahawan. Usahawan kecil dan sederhana, Usahawan francais, usahawan bumiputa dan macam-macam lagi, Di lobi-lobi
hotel, di restoren-restoran, tidak ketinggalan di restoran nasi kandar 24 jam, di kelab-kelab, bahkan di gerai-gerai tepi jalanpun orang berbincang pasal nak jadi usahawan.
Di sana ada kursus usahawan, di sini ada seminar perniagaan. Syarikat swasta pun buat kursus. Kerajaan dah tentu banyak buat seminar, forum dan sebagainya sebab mahu wujudkan banyak usahawan. Lagipun memang ada jabatan dan kementerian khas untuk tujuan ini. Berbagai koleksi sijil dikumpul oleh bakal usahawan. Kononnya untuk mudah dapat pinjaman, dapat bantuan, dapat galakan dan dapat bermacam-macam insentif lagi.
Di akhir kursus usahawan, biasanya peserta sentiasa diingatkan..."balik nanti !! cuba dapatkan modal yang mencukupi untuk mulakan perniagaan masing-masing....". Ada yang terdetik di hati "mahu pinjam dari bank mana ni...tapi peluang bagus.". Fikiran sedang berlegar-legar mencari sumber kewangan. Dengar kata di sana ada pinjaman perniagaan, di sini ada peruntukan untuk pembangunan usahawan. Jadi untuk pujuk diri, mulut lalu berkata "Ah.. mesti boleh dapat kalau usaha.." Maklumlah, semangat sedang berkobar-kobar ketika itu.
Ada yang dengan semangat membara sehingga sanggup meninggalkan pekerjaan yang sudah bergaji besar untuk mulakan perniagaan. Mereka yang memang sudah diberhentikan atau memang kena berhenti kerja sudah tak perlu lagi cerita panjang. Apa lagi nak buat dengan wang imbuhan yang dapat, berniagalah yang paling baik. Kalau modal kecil, buat kecil-kecilan dulu. Lama-lama akan jadi besar juga. Sudah lama jadi pekerja, sekarang sudah boleh jadi majikan pula.
Bagi yang agak kurang yakin pula, mulakan dahulu dengan perniagaan part time sebagai sekadar mencuba dan belajar selok belok perniagaan. Sebahagian lagi pula sedang meninjau-ninjau peluang yang terbaik kerana banyak sangat tawaran dan peluang yang datang. Mereka yang aktif politik pula, peluang mungkin hadir melalui politik. Sana ada kabel, sini ada kabel. Kalau dapat sambung kabel-kabel yang ada, sudah tentu jadi panjang. Kadang-kadang sampai naik takut dengar kabel yang mereka ada. Itu belum kira orang dalam lagi. Bunyinya cukup menarik dan cukup cantik.
Dengar perbincangan tentang usahawan amat mengasyikkan. Kadang-kadang boleh duduk dengar saja sampai berjam-jam. Nasib baik ada anak dan isteri di rumah. Kalau tidak, boleh duduk 24 jam mendengar bakal-bakal usahawan kita berbincang. Nasi kandar kan 24 jam. Ditambah pula ada kemudahan WiF PERCUMA. Bertambahlah hebat dengan masing-masing ber-laptop. Usahawan alaf baru lah pula. Kalau dulu masing-masing letak telefon bimbit saja atas meja, tapi sekarang masing-masing buka laptop atas meja. Ada kalanya rasa hairan juga kepada mereka. Mereka kononnya berkumpul untuk berbincang, tetapi perbincangan mereka didapati tiada suara kerana masing-masing sibuk dengan laptop masing-masing. Tapi biarlah...mungkin kita yang tidak faham, perbincangan di kalangan usahawan alaf baru mungkin begitu.
Di meja hujung sana sedang bersembang pasal ada syarikat baru dari Amerika. Datuk...sedang urus untuk bawa masuk ke Malaysia. Semua sudah ok. Tunggu masa sesuai untuk lancarkan operasi saja. Sekarang sedang cari orang-orang yang layak untuk kawal kawasan itu dan kawasan ini. "...tak pa..kita joint kecil-kecil dulu pun ok, lepas ni kalau ada modal lebih, kita urus cara nak tambah. Yang penting..sementara awal dan belum launching lagi ni...orang duit banyak tak kisah..mereka boleh joint kemudian pun ok sebab boleh keluar modal banyak..". Itu yang sempat di dengar.
Ada pula live bola sepak di Astro. Semakin lewat, semakin meriah. Tiba-tiba ada satu kumpulan usahawan baru balik dari program. Masing-masing berpakaian kemas belaka. Ada yang betul-betul macam orang korporat. Syarikat sudah lama tapi diberi nafas baru. Ada orang tertentu ambil alih. Pemilik baru sangat perihatin, tidak seperti pemilik dulu. Pelan pemasaran cukup power, memang menguntungkan pengedar. Lagipun hanya ada satu dua produk saja. "Jadi tidak pening kepala, kita boleh fokus dan kerja jadi mudah:". Pelik pula bunyi orang yang bercakap malam ni. Dulu dia kata banyak produk lebih baik sebab boleh pelbagaikan produk kepada berbagai pengguna. Bukan semua pengguna mahu barang yang sama, katanya.
Lebih lama memerhati, lebih banyak port-port usahawan yang kita pergi, lebih banyak hal dan perkara boleh tahu. Yang terang lagi bersuluh ialah sentiasa ada peluang baru, projek baru, syarikat baru, produk baru, leader baru, pelan baru, kilang baru, pejabat baru, matlamat baru dan bermacam-macam lagi yang baru. Yang pasti pula ialah ada yang terbaru dan yang terbaru akan lebih baik dari yang baru.
Itulah sedikit sebanyak hasil dari pemerhatian, pendengaran, dan berbagai-bagai pe..lagi mengenai demam usahawan di kalangan orang-orang kita. Kita harap apa yang mereka bincang akan dilaksanakan bersungguh-sungguh. Kejayaan mereka akan menjadi kejayaan kita juga. Setidak-tidaknya mereka boleh melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Dari dulu hingga sekarang...sudah terlalu banyak kita dengar usahawan kecundang, usahawan separuh jalan, usahawan terbengkalai, usahawan tunggu bantuan, usahawan bermasalah dan sebagainya.
.
No comments:
Post a Comment